18 November 2010

Korban

8 Disember 1941

Aku ketika itu baru sahaja memulakan tugas sebagai jurugambar untuk akhbar The Straits Times, Singapura. Kamera yang dipinjamkan syarikat aku jaga sepenuh hati kerana itulah sumber mata pencarianku. Sudah lama aku impikan kerja ini, dan peluang untuk menjadi jurugambar suratkhabar ini tidak mungkin aku lepaskan. Meskipun tidak aku tahu Malaya tidak akan menjadi seperti dulu lagi.

Tentera Jepun mula mendarat di Kota Bharu, Kelantan dua jam sebelum serangan Pearl Harbour.

 

Perang Pasifik bermula.

 

11 Januari 1942

Japanese troops mopping up in Kuala Lumpur during their advance through Malaya, 11 Jan 1942

Kemaraan tentera Jepun seakan tidak dapat dibendung. Satu demi satu bandar ditawan. Apabila Kuala Lumpur jatuh ke tangan Jepun, aku tahu Singapura adalah sasaran seterusnya. Pihak tentera mula menyediakan kubu pertahanan sekitar kota Singapura. Ketika itu aku ditugaskan sebagai wartawan perang, mengambil gambar peperangan di samping askar untuk dijadikan bahan propaganda British untuk menangkis perang saraf Jepun.

Aku mungkin akan terkorban.

 

5 Februari 1942

Invasion of Malaya file photo

Pesawat pejuang jepun mula mengedarkan risalah dari udara untuk mengajak penduduk supaya tidak melawan atau menyerah diri. Serangan kecil berlaku di Pulau Ubin di timur Singapura menyebabkan British segera mengalihkan kuasa tentera ke bahagian itu. Aku masih ditempatkan di pusat bandar Singapura, menantikan serangan yang tidak mungkin dapat dielakkan.

Kematian semakin hampir.

 

8 Februari 1942

Malam yang dingin tidak lg terasa apabila siren berbunyi kuat, bom dijatuhkan di bangunan-bangunan kerajaan, dan suara teriakkan tentera Jepun menyerbu kubu pertahan British memenuhi setiap ruang. Malam itu tidak seperti malam biasa. Malam itu seperti malam terakhirku. Dengan kamera masih di tangan, aku berlari mengikut askar yg berada dihadapanku. Tiba-tiba belakangku terasa pedih. Cecair panas mengalir.

Adakah ajalku sudah tiba?

 

11 Februari 1942

A column of smoke from burning oil tanks rising above the deserted streets of Singapore, Feb 1942

Sudah 3 hari aku tak sedarkan diri. Suasana pagi ini tidak seperti pagi yang dahulu. Sunyi. Terlalu sunyi. Tiada lagi suara anak-anak bermain. Tiada lagi bunyi peti radio. Aku gagahkan juga untuk berdiri untuk melihat ke luar tingkap. Siapakah agaknya yang membuat balutan di dadaku ini?

Jeneral Toshio. Penyelamat atau Pembunuh?

 

15 Februari 1942

Japanese General Tomoyuki Yamashita and British Lieutenant General Arthur Percival discussed surrender terms at the Ford Works Building near the Bukit Timah Road, Singapore, 15 Feb 1942

Nyawaku terselamat kerana aku adalah seorang jurugambar dan kemahiranku diperlukan oleh pihak Jepun. Jeneral Toshio yang boleh berbahasa Melayu mengarahkan aku mengambil gambar sempena kejatuhan Singapura pada hari ini. Walaupun sedih, aku masih bersyukur kerana masih hidup. Jeneral Toshio juga seperti orang yang baik. Mukanya sering tersenyum apabila bercakap denganku.

Walaupun sekarang aku bekerja dengan Jepun, semangat aku untuk membebaskan tanah airku tak pernah pudar.

Pengorbanan harus dilakukan.

 

15 Februari 1943

A Japanese soldier tending graves of fallen comrades, Malaya, circa Dec 1941-Feb 1942

Setahun sudah berlalu semenjak penjajahan Jepun terhadap Malaya dan Singapura. Aku masih dengan tugas sebagai jurugambar yang merakamkan kebaikkan tentera Jepun untuk diedarkan ke kawasan-kawasan kampung. Aku bukan tali barut. Aku hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Perkenalan rapat aku dan Jeneral Toshio menyebabkan aku mudah keluar dan masuk ke pejabat pemerintahan tentera.

Tiada kebebasan tanpa pengorbanan.

 

6 Ogos 1945

Sudah hampir 3 tahun tetapi aku belum mengambil apa-apa tindakan terhadap Jeneral Toshio. Tetapi hari ini akan mengubah segalanya. aku menggenggam pisau kerambit erat-erat sambil diselindung oleh kamera. Perlahan-lahan aku membuka pintu pejabat pentadbiran. Pemandangan pelik telah membuatkan aku membantutkan hasrat membunuh Jeneral Toshio. Beliau sedang menangis teresak-esak. Suara radio mejelaskan segalanya. Seluruh keluarga Jeneral Toshio yang berada di Hiroshima terbunuh angkara bom atom yang digugurkan oleh pesawat Enola Gay.

Pengorbanan untuk kedamaian.

 

15 Ogos 1945

Maharaja Jepun, Maharaja Hirohito telah mengisytiharkan kekalahan tentera Jepun dalam Perang Pasifik melalui siaran radio. Aku bergegas berlari ke pejabat Jeneral Toshio. Semua pedangnya aku sembunyikan. Aku tahu beliau akan melakukan seppuku kerana orang Jepun yang taat pada Maharaja tidak boleh menerima kekalahan.

Jeneral Toshio melangkah masuk kedalam pejabat longlai mencari pedangnya. Airmata beliau berderai apabila mengetahui niatku untuk menghalangnya membunuh diri. Dipeluknya aku erat-erat seakan kawan baik yang tidak akan berjumpa lagi.

Kalaulah dia tahu perasaanku dahulu dan sekarang.

 

12 September 1945

Jepun secara rasmi telah berundur dari Singapura. Jeneral Toshio dan tenteranya telah pulang kembali ke Jepun. Aku mesti mula mencari kehidupan baru. Dalam keadaan kucar-kacir pasca peperangan, tidak ada tempat untuk seorang jurugambar mencari rezeki. Aku tak gentar lagi untuk melakukan pengorbanan.

 

Apakah pula pengorbanan anda?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...